SSI TINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN DEMI PENYOKONG
Keselamatan anda keutamaan kami. Itu ikrar yang dijanjikan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam menjamin tahap keselamatan semua penyokong sama ada ‘die hard fan’ Harimau Selatan mahupun peminat pasukan lawan setiap kali berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selain keterujaan untuk menikmati ‘perlawanan pertama’ Liga Super bagi musim 2024/2025, penyokong yang hadir ke SSI pastinya terpegun dengan tahap keselamatan yang dipertingkatkan dengan kehadiran pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) yang turut ditugaskan membantu pasukan keselamatan sedia ada di antara stadium terbaik di dunia itu.
Sebelum ini, tular di laman media sosial kononnya akan berlaku pengurangan jumlah kehadiran penyokong ke SSI disebabkan ‘kata-kata nakal’ berkaitan kurangnya kawasalan keselamatan. Namun dakyah ini ternyata meleset apabila seramai 19,988 penyokong tetap hadir untuk memberi sokongan kepada JDT, walaupun hujan lebat melanda sebelum perlawanan antara JDT dan Negeri Sembilan, bermula.
Sebenarnya, isu berkaitan kawalan keselamatan di SSI sudah dilaksanakan sejak sekian lama. Contohnya mudah sahaja dimana kita dapat saksikan bagaimana penyokong pasukan pelawat diiringi ‘marshall stadium’ dan juga pihak polis ke ruangan seksyen tempat duduk yang sememangnya dikhaskan untuk penyokong pasukan pelawat.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga sekali lagi menerima layanan ‘first class’ apabila turut dikawal rapi sepanjang perlawanan berlangsung dan mereka juga diiringi keluar stadium dengan selamat hingga semuanya selesai menaiki bas.
Bercakap mengenai situasi semasa perlawanan semalam, kehadiran anggota unit khas (Elite) ASTNJ yang berpakaian sut lengkap dilihat mengawal selia ‘perimeter’ SSI. Mereka ditugaskan sebagai pasukan tambahan bagi memperkasakan lagi kawalan stadium dan pada masa sama ‘menambahkan kepercayaan’ penyokong untuk hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan bola sepak, selepas beberapa siri insiden ‘di luar Johor’ yang membabitkan pemain bola sepak.
Anggota Elite ATSNJ ini dilihat dalam keadaan ‘mode’ bersedia untuk sebarang kemungkinan demi keselamatan penyokong dan juga mengawal rapi pergerakan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang turut berada di stadium bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.
Selain itu, penambahan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memenuhi ruang legar SSI dan juga di bahagian tempat duduk penyokong. Untuk memastikan keselesaan kepada semua pihak, anggota PDRM turut memeriksa semua penyokong yang hadir untuk memastikan tiada barang larangan ‘dapat diseludup’ memasuki kawasan stadium.
Perlawanan Liga Super Malaysia menyaksikan pasukan JDT mengutip 3 mata ke atas pasukan Negeri Sembilan dengan Bergson Da Silva berjaya membuka akaun jaringan sebanyak dua gol diikuti dengan satu gol Jordi Amat menambah derita pelawat.
#Chapter2
#SudutPandangPenyokong
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor