STPM JOHOR CEMERLANG


Negeri Johor mencipta prestasi dalam peperiksaan awam apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut mengatasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Selepas mencatat keputusan membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Negeri Johor sekali lagi terus mencipta prestasi memberangsangkan dalam peperiksaan awam apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut mengatasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan.

 

Dalam keputusan STPM yang diumumkan hari ini, Negeri Johor berjaya mencatat PNGK 2.98, sekali gus mengatasi PNGK Kebangsaan yang berada pada paras 2.84.

 

Pencapaian PNGK Negeri Johor itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.05 mata berbanding 2.93 yang dicatatkan pada tahun lalu dengan 171 pelajar berjaya mendapat PNGK 4.00, meningkat berbanding 160 calon pada 2022.

 

Peningkatan signifikan itu menyaksikan 10.44 peratus calon mencatatkan PNGK 3.75 hingga 3.99; PNGK 3.00 hingga 3.74 (38.10 peratus); PNGK 2.75 hingga 2.99 (13.83 peratus) dan PNGK 2.00 hingga 2.74 sebanyak 26.02 peratus.

 

Hasil daripada keputusan memberangsangkan tersebut, dijangkakan tiada halangan bagi lebih ramai calon lepasan STPM 2023 Johor untuk diterima masuk ke Universiti Awam pada tahun ini dengan peratusan calon lulus penuh adalah sebanyak 79.93 peratus.

 

Lebih membanggakan, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil turut bertambah kepada 10 calon manakala calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat 4A adalah seramai 152 calon.

 

Sementara itu, seramai tiga calon STPM Negeri Johor turut menerima anugerah dari Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi Pelajar Terbaik STPM 2023 Peringkat Kebangsaan untuk kategori Aliran Sains Sosial, Aliran Sains dan Calon Terbaik Sejarah.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor