SUKARELAWAN HELP TERUS SANTUNI PENJAWAT AWAM DITIMPA MUSIBAH

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menyempurnakan pelepasan delegasi Program HELP: Seluhur Kasih, Simbiosis Tercipta 2025 sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Program HELP: Seluhur Kasih Simbiosis Tercipta diteruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) pada tahun ini sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan penjawat awam yang ditimpa musibah.

 

Merupakan kesinambungan daripada inisiatif sama dilaksanakan pada tahun lalu, program untuk kali ini diperkasakan dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membantu 300 penjawat awam dan pesara di seluruh Negeri Johor yang mengalami masalah kesihatan, penyakit kronik serta kehilangan ahli keluarga.

 

Bagi fasa pertama berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan esok, seramai 145 penerima dari 10 daerah disantuni pasukan sukarelawan bertujuan untuk memberikan sokongan moral, semangat dan bantuan, manakala baki penerima pula akan dikunjungi secara berperingkat sebelum penghujung tahun 2025.

 

Selain bantuan dalam bentuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan, inisiatif kebajikan tersebut turut menekankan aspek sokongan emosi serta motivasi kepada penerima dan ahli keluarga selaras dengan peranan AKRAB sebagai pembimbing psikososial bagi penjawat awam yang disantuni.

 

Pelaksanaan program dikelolakan oleh Unit Psikologi dan Kaunseling BPSM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor itu juga membuktikan komitmen berterusan dalam menghargai jasa penjawat awam serta pesara yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan negeri di samping memastikan kebajikan mereka terus diberikan perhatian.

 

Terdahulu, pelepasan delegasi rombongan Program HELP: Suluhur Kasih Simbiosis Tercipta Tahun 2025 sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan bertemakan ‘Santuni Emosi, Sejahtera Insani’ disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor diiringi oleh YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Turut hadir, YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Tuan Haji Shafiei Ahamad, Pengurus Johor Heal Centre, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor; YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir Haji Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YBhg. Puan Norliyati Md. Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat); YBhg. Puan Hajah Zihan Ismail, Presiden AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor serta YBhg. Tuan Haji Ab. Razak Khalid, Setiausaha Bahagian BPSM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

 

#JohorSafeZone
#PejabatSUKJohor
#HELP
#SeluhurKasihSimbiosisTercipta
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor