SUKARELAWAN SOUTHERN VOLUNTEERS BERSIHKAN PERSEKITARAN LARKIN


Seramai 60 sukarelawan Southern Volunteers terdiri pelbagai kaum dan latar belakang menjayakan program Johor Bersih di Johor Bahru melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 60 sukarelawan Southern Volunteers terdiri pelbagai kaum dan latar belakang menjayakan program Johor Bersih di Johor Bahru melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, hari ini.

 

Program yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar itu bermula seawal jam 8.30 pagi.

 

Bermula di Pejabat Daerah Johor Bahru, gerak kerja pembersihan dilakukan sukarelawan turut melibatkan lokasi sekitar antaranya Larkin Sentral, Rumah Pangsa Larkin dan dijangka berakhir di Stadium Larkin.

 

On ketika ditemui berkata, program Johor Bersih diadakan secara serentak di seluruh negeri ini, bagi menerapkan amalan penjagaan kebersihan seiring dengan kepesatan pembangunan.

 

“Program Johor Bersih pada hari ini, para sukarelawan melalui kawasan-kawasan tumpuan awam. Jadi ia bersesuaian dengan matlamat kerajaan negeri untuk memupuk semangat gotong rotong menjaga kebersihan.

 

“Pada masa sama, program Johor Bersih ini menanam kesedaran kepada orang untuk bersama-sama memastikan kawasan sekeliling bersih,” kata beliau kepada Media Digital Johor.

 

On memberitahu tumpuan kerja pembersihan oleh sukarelawan adalah mengutip sampah sarap di atas permukaan dan bahu jalan di setiap lokasi yang dilalui sepanjang program berlangsung.

 

Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama menjayakan program Johor Bersih dalam usaha menjadikan Johor sebagai negeri yang bersih sekali gus menjadi amalan kehidupan seharian.

 

“Soal menjaga kebersihan ini adalah tanggungjawab bersama. Tidak hanya terserah kepada sukarelawan atau pihak-pihak tertentu sahaja, tetapi semua kerana ia adalah soal kemasyarakatan.

 

“Maka untuk mencapai status negeri dan negara bersih, setiap daripada kita mesti menanam malah memiliki semangat serta kesedaran tentang kepentingan aspek kebersihan itu sendiri,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor