SUKMA XXI: LUASKAN KUASAMU JOHOR


Ketua Kontinjen SUKMA Johor, YB Datuk Pandak Ahmad. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Semua pengurus pasukan perlu memainkan peranan penting terutama mempersiapkan atlet Johor dalam menghadapi cabaran dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak, bulan depan.

 

Ketua Kontinjen SUKMA Johor, YB Datuk Pandak Ahmad memberitahu, persiapan dari segi mental dan fizikal atlet Johor sangat penting kerana ia akan menjadi aset terbaik untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan dwi-tahunan berkenaan.

 

Ujarnya, semangat kesukanan di samping disiplin yang tinggi menjadi antara kunci penting dalam meraih kemenangan selain setiap atlet juga perlu berjuang atas nama Negeri Johor dan bukannya hanya mengejar kepentingan peribadi semata-mata.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Kontinjen Bersama Pengurus dan Jurulatih Kontinjen SUKMA Johor 2024 di Fraser Place, hari ini.

 

Hadir sama ialah YB Dato’ Haji On Jabbar @ Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); Ts Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor; Puan Hajah Hasrunizah Hassan, Timbalan Ketua Kontinjen Johor II dan Encik Muhamad Farkhan Haron, Timbalan Ketua Kontinjen Johor III.

 

Ditanya mengenai persiapan Kontinjen SUKMA Johor kali ini, Pandak berkata, pihaknya berpuas hati dengan segala persiapan yang dilakukan setelah melakukan tinjauan di setiap pusat latihan sukan bagi memantau perkembangan semasa prestasi atlet Kontinjen Johor.

 

Walaupun tugas Kontinjen SUKMA Johor kali ini agak berat kerana hadir sebagai Juara Bertahan, namun beliau yakin cabaran ini akan dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak dan pihaknya juga sentiasa optimis dalam merealisasikan sasaran pingat emas yang ditetapkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi. Bagi memberi motivasi tambahan, beliau juga akan sentiasa bersama seluruh Kontinjen Johor sehingga hari terakhir SUKMA 2024 Sarawak berlangsung kelak.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor