SUN BUS TECH METERAI NOU BANGUNKAN BAKAT, TAWAR GAJI PREMIUM

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyaksikan pemeteraian NoU antara JTDC diwakili oleh YBhg. Encik Herman Raban, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) dengan YBrs. Encik Phang Sun Wah, Pengasas dan Pengerusi Sun Bus Tech di fasiliti Sun Bus Tech di Senai. | Foto MDJ Wira Anggara
#Kulai – Sun Bus Tech Sdn. Bhd. (Sun Bus Tech), syarikat pengeluar badan bas konvensional dan elektrik berpusat di negeri ini, menandatangani Nota Persefahaman (NoU) dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi meningkatkan standard dan memperkasa bakat tempatan.
Jalinan kerjasama itu dijangka menyediakan hampir 200 peluang pekerjaan dengan gaji bermula RM4,000 kepada tenaga kerja mahir tempatan khususnya dalam bidang kejuruteraan automotif, teknikal serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Malah kerjasama berkenaan juga merupakan langkah strategik JTDC merangka inisiatif pembangunan bakat yang menumpukan kepada keperluan industri masa hadapan terutama sektor teknologi hijau dan pengangkutan yang kian berkembang pesat di negeri ini.
Sun Bus Tech turut menyatakan kesediaan dan komitmen menjadi rakan industri utama kepada JTDC dalam menyediakan laluan kerjaya jangka panjang serta menyokong agenda pembangunan modal insan yang mampan dan menawarkan pekerjaan bergaji premium.
Kerjasama Sun Bus Tech dan JTDC merangkumi bantuan yuran pengajian selain akses kepada pendedahan industri, latihan praktikal serta jaminan kerjaya selepas tamat pengajian sekali gus merapatkan jurang antara institusi pendidikan dengan dunia pekerjaan sebenar.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyaksikan pemeteraian NoU antara JTDC diwakili oleh YBhg. Encik Herman Raban, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) dengan YBrs. Encik Phang Sun Wah, Pengasas dan Pengerusi Sun Bus Tech di fasiliti Sun Bus Tech di Senai, hari ini.
#JTDC
#GajiPremium
#SunBusTech
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor