TAHUN 2025 DETIK PENTING REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM


Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Penjawat Awam di Negeri Johor bagi bulan Januari tahun 2025 yang disiarkan secara langsung di Dewan Bankuet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Sektor perkhidmatan awam diseru untuk menjadikan permulaan tahun baharu 2025 sebagai detik penting bagi melangkah ke hadapan dalam usaha meningkatkan kecekapan, produktiviti serta mengadaptasi teknologi baharu demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul.

 

Penjawat awam juga diingatkan supaya turut memberi tumpuan dalam usaha membantu golongan miskin tanpa mengira latar belakang, selaras dengan prinsip keadilan sosial selain berusaha memastikan rakyat dapat menerima perkhidmatan yang terbaik termasuk menyelesaikan isu mendesak seperti hal yang berkaitan banjir dan kemiskinan.

 

Selain itu, kepesatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga harus dimanfaatkan oleh warga penjawat awam bagi mempercepat urusan dan meningkatkan daya saing negara dalam bidang transformasi digital, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan dengan lebih strategik dan efisien.

 

Seruan itu dibuat oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Penjawat Awam di Negeri Johor bagi bulan Januari tahun 2025 yang disiarkan secara langsung di Dewan Bankuet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

Hadir sama menyaksikan amanat tersebut ialah YB Dato’ Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) dan YB Datuk Abdul Aziz Engan, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap tadbir urus kerajaan sebagai teras pertama dalam agenda Maju Johor bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan agar telus, cekap dan berintegriti kepada rakyat dan pelabur.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor