TAMPAK MUDA, SIHAT SELEPAS 27 KALI DERMA DARAH
Kata orang, kalau buat benda baik, pasti perkara yang baik akan kembali kepada kita. Itu manfaat daripada amalan menderma darah yang bukan sahaja membantu golongan penerima tetapi ia akan memberi faedah yang besar kepada penderma darah tersebut sama ada segi kesihatan mental, kesihatan fizikal mahupun dapat menggalakkan interaksi sosial.
Bagi Penderma darah sebanyak 27 kali sejak 2010, S. Selva Kumar memuji layanan mesra kakitangan Pusat Pendermaan Darah, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang membuatkan dirinya bukan sahaja berasa selesa tetapi juga lebih bersemangat untuk hadir menderma darah di tempat tersebut.
Selva Kumar, 38, yang mempunyai darah jenis AB positif memaklumkan, darah jenis tersebut yang juga dimilikinya agak sukar untuk ditemui selepas diberitahu oleh pakar darah di pusat berkenaan.
Ujarnya, perkara tersebut telah membuatkan beliau berasa lebih bertanggungjawab untuk tampil meneruskan aktiviti menderma darah dalam tempoh empat bulan sekali.
Walaupun sentiasa bersemangat untuk menderma darah, Selva Kumar memberitahu pengalaman pertamanya untuk berbakti kepada negara hampir terbantut kerana isu berat badan yang tidak memungkinkannya untuk berbuat demikian.
Namun ia ternyata tidak melemahkan pemuda berasal dari Permas yang kemudian nekad menambah berat badan semata-mata untuk melayakkannya menderma darah. Bagai ‘cinta pandang pertama’, selepas sahaja pertama kali dapat menderma darah, beliau akhirnya menjadi lebih bersemangat untuk menderma darah dan pada masa sama dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa yang memerlukan.
Ditanya mengenai manfaat daripada menderma darah, Selva Kumar tanpa sebarang keraguan memberitahu ia dapat membuatkan dirinya lebih sihat, cergas, selain ia membuatkan kehidupannya lebih positif dan ceria berbanding biasa. Beliau juga akan turut berkongsikan pengalamannya di media sosial yang bertujuan untuk mengajak sanak saudara, rakan kenalan dan orang ramai untuk bersama-sama menderma darah. Di media sosial, beliau cuba memberi bayangan bagaimana jika diri kita yang memerlukan darah.. bagaimana orang yang kita sayangi memerlukan darah. Sebelum semua itu berlaku, lebih baik diri kita menjadi orang pertama yang menderma darah.
Bagi yang ingin menderma darah, pihak HSA JB mengalu-alukan kedatangan anda ke dua pusat Kempen Derma Darah Statik. Pusat Pendermaan Darah HSA JB dibuka pada hari Ahad hingga Rabu (8 pagi – 4.30 petang) dan hari Khamis (8 pagi – 2.30 petang). Selain itu, anda juga boleh ke JB Blood Donation Suite, The Mall Midvalley South Key, Level 4 Centre Court yang dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi sehingga 6.30 petang.
Ingat, 1 beg darah selamatkan 3 nyawa.
#JohorBloodWarriors
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor