TELEPERFORMANCE PILIH MEDINI, PERKUKUH HAB PERKHIDMATAN PERNIAGAAN GLOBAL

Iskandar Investment Berhad (IIB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kehadiran TP merupakan satu lagi langkah dalam usaha memperkukuh Medini sebagai ekosistem perniagaan menyeluruh yang membolehkan syarikat menubuhkan, mengendalikan dan mengembangkan operasi perniagaan mereka. | Foto IIB
#IskandarPuteri – Teleperformance (TP), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pengalaman pelanggan, operasi digital dan perkhidmatan hasil untuk perniagaan bakal membuka operasi baharunya di Menara IIB, Medini, sekali gus memperkukuh kedudukan kawasan berkenaan sebagai lokasi strategik bagi pertumbuhan sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dalam koridor ekonomi Johor-Singapura.
Operasi baharu syarikat itu dijangka akan menyokong perkhidmatan pengalaman pelanggan, operasi digital serta perkhidmatan hasil untuk perniagaan di Singapura dan pasaran lebih meluas di Asia Tenggara, selain memperluas kehadiran TP di Malaysia yang turut merangkumi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Iskandar Investment Berhad (IIB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kehadiran TP merupakan satu lagi langkah dalam usaha memperkukuh Medini sebagai ekosistem perniagaan menyeluruh yang membolehkan syarikat menubuhkan, mengendalikan dan mengembangkan operasi perniagaan mereka.
Menurut IIB, keperluan syarikat bukan sekadar melibatkan ruang pejabat, malah turut merangkumi akses kepada bakat, sokongan perniagaan, pilihan kediaman untuk pekerja serta kemudahan komersial yang memenuhi keperluan harian dengan kesemua elemen berkenaan amat penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang mampan untuk tempoh jangka panjang.
Sejak 2013, sebanyak 47 syarikat GBS telah bertapak di Medini dan menyokong kira-kira 7,200 peluang pekerjaan, manakala kehadiran TP dijangka menambah lagi asas pekerjaan serta memperkukuh kepelbagaian keupayaan dalam ekosistem GBS di kawasan berkenaan.
IIB turut menyatakan bahawa pertumbuhan ekosistem GBS di Medini telah membantu memperluas kumpulan bakat, mengukuhkan jaringan perniagaan serta meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan dan pembekal tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.
Pemilihan Medini turut diperkukuh dengan kedudukannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) yang menyediakan platform lebih luas bagi aktiviti ekonomi di koridor Johor-Singapura, selain menawarkan lokasi pelengkap kepada syarikat beribu pejabat di Singapura, syarikat multinasional dan pengendali GBS lain untuk memperluas kapasiti serta melayani pasaran serantau.
Pembukaan operasi TP di Menara IIB menjadi satu lagi perkembangan dalam usaha IIB menarik lebih banyak syarikat ke dalam ekosistem perniagaan Medini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pangkalan strategik bagi pertumbuhan perniagaan serantau.
#JohorSafeZone
#Teleperformance
#JohorHomeOfChampions
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


