TERIMA KASIH TAN SRI!

YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor secara rasmi menamatkan perkhidmatan beliau sebelum menyandang peranan baharu sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#KotaIskandar – Detik penuh emosi dan ucapan ‘Terima Kasih Tan Sri’ menghiasi suasana di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini, apabila YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor secara rasmi menamatkan perkhidmatan beliau selepas menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Johor selama lebih lapan tahun.

 

Majlis ‘Clock Out’ yang berlangsung di perkarangan Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad yang turut menempatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor itu menyaksikan warga kerja di sekitar Kota Iskandar berkumpul bagi memberi penghormatan dan ucapan selamat jalan kepada figura yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ayahanda’ bagi semua penjawat awam Negeri Johor.

 

YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi telah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor selama kira-kira 33 tahun dan pernah bertugas di pelbagai jabatan Kerajaan Johor sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor Ke-24 pada 1 Januari 2017.

 

Sebelum melangkah keluar dari pejabat buat kali terakhir sebagai Setiausaha Kerajaan Johor, beliau sempat meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan kakitangan awam yang menantinya di lobi utama Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad.

 

Mengakhiri detik perpisahan itu, beliau kemudiannya dibawa menaiki kenderaan rasmi untuk melalui beberapa laluan di sepanjang kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor itu untuk menerima lambaian penghormatan dan tepukan gemuruh daripada kakitangan kerajaan sebagai simbol ucapan terima kasih atas segala jasa yang telah dicurahkannya selama menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Johor.

 

Bermula esok, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani akan menyandang peranan baharu sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara selepas mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 23 Jun lalu.

 

Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Abd Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YB. Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Puan Norliyati Md. Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat) dan YB Dato’ Haji On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).

 

#SUKJ
#SetiausahaKerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor