THE TMJ EFFECT JELAS TERBUKTI, JDT JADI TUMPUAN ANTARABANGSA

Kejayaan pasukan kelab bolasepak JDT menarik perhatian media antarabangsa, membuktikan “The TMJ Effect” sebagai pemacu utama ke tahap global. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kejayaan berterusan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menembusi perhatian media antarabangsa sekali lagi membuktikan bahawa “The TMJ Effect” menjadi pemacu utama kelab berpangkalan di Johor Bahru ini untuk berada pada tahap tersendiri dalam landskap bola sepak global.
Perkembangan positif ini mendapat perhatian Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang bertitah menzahirkan rasa bangga melihat Harimau Selatan terus menerima liputan meluas daripada platform media sukan antarabangsa berpengaruh.
Malah, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor turut berkongsi perkembangan tersebut dengan meluahkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas kepimpinan Pemangku Sultan Johor yang menjadi pemangkin kepada kejayaan berterusan JDT di pentas antarabangsa.
Liputan oleh media antarabangsa seperti AP News, beIN Sports, ESPN dan Sporting News mengenai perjalanan serta kejayaan JDT mencerminkan bahawa pencapaian Harimau Selatan bukan lagi bersifat domestik, sebaliknya telah mula diiktiraf di peringkat global.
Pada masa sama, JDT turut mencipta sejarah apabila layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) buat kali pertama selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima, wakil Jepun dengan agregat 3-2 dalam aksi pusingan 16 terbaik sebelum ini.
Undian peringkat suku akhir menyaksikan JDT bakal bertemu kelab gergasi Asia sama ada Al-Ahli atau Al-Duhail yang jelas meletakkan kelab ini sebaris dengan pasukan elit benua, sekali gus membuktikan JDT kini bukan lagi sekadar pencabar, tetapi sebahagian daripada kelompok utama bola sepak Asia.
Momentum ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam membentuk mentaliti juara, malah terus menyuntik semangat dan keyakinan dalam kalangan Bangsa Johor bahawa kejayaan di pentas antarabangsa sedang dibina secara konsisten.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#WhatCanYouDo
#TheTMJEffect
#SouthernTigers
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



