TIADA EXCO, PEGAWAI KERAJAAN JOHOR TERLIBAT SIASATAN RASUAH LOT PERUMAHAN

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, dalam satu kenyataan memaklumkan pendirian Kerajaan Negeri berhubung siasatan berkenaan. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menegaskan tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terhadap seorang individu yang disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa berkaitan urusan permohonan lot tapak perumahan.
Siasatan berkenaan tidak melibatkan mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau pegawai Kerajaan Johor dan perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada SPRM serta proses undang-undang untuk dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
Sehubungan itu, semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kes berkenaan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor bagi mengelakkan kekeliruan.
Pendirian Kerajaan Negeri juga jelas untuk tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam urusan berkaitan perumahan rakyat.
Pada masa sama, Kerajaan Johor akan terus memastikan lebih ramai Bangsa Johor mempunyai akses kepada rumah mampu milik menerusi sasaran menyiapkan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang penghujung 2026.
Setakat ini, lebih 21,000 unit RMMJ telah siap dan diserahkan kepada Bangsa Johor sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri memastikan agenda pemilikan rumah dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti.
Rakyat turut digesa supaya sentiasa berurusan melalui saluran rasmi dan tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau mana-mana pihak yang meminta bayaran dalam urusan berkaitan perumahan.
Sebarang permintaan bayaran hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, dalam satu kenyataan memaklumkan pendirian Kerajaan Negeri berhubung siasatan berkenaan.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


