TIADA LAGI RUMAH UZUR
“Alhamdulillah, kecil tapak tangan, Gunung Lambak saya tadahkan,” demikian reaksi Rita Johari, 55, kepada Suhaizi Mohd Yasin, Penghulu Mukim Kluang apabila dimaklumkan Kerajaan Negeri bersetuju membina Rumah Kasih Johor (RKJ) buat Rita sekeluarga di Kampung Paya.
Rita atau lebih mesra disapa Jojo tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur selain menyifatkan pemberian rumah baharu secara percuma sebagai hadiah istimewa membolehkannya bersama suami Rahman Mohd Paijan, 58, dua anak dan adik lelaki berstatus kelainan upaya tinggal di kediaman yang jauh lebih selesa di atas tanah milik sendiri.
Pada mulanya Jojo hanya membuat permohonan membaik pulih rumah pusaka terletak bersebelahan kediaman sekarang, namun berkat pertolongan Suhaizi Mohd Yasin, Penghulu Mukim Kluang dan Roslan Maadun, Ketua Kampung, Kampung Tengah membolehkan dia terpilih sebagai penerima Rumah Kasih Johor.
Telah berpindah pada bulan Ogos lalu, Jojo walaubagaimanapun tidak dapat melihat kerja-kerja pembinaan mahligai idamannya itu apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya pada tahun 2023 sehingga mengakibatkan kaki kirinya patah dan terlantar di rumah sewa dekat Jalan Dahlia, Kampung Melayu.
Jojo turut berkongsi kenangan manis dapat hadir sendiri ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Johor ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor di Simpang Renggam pada April tahun ini biarpun dalam keadaan berkerusi roda untuk menerima kunci rumah impiannya.
Berbeza dengan rumah didiaminya sebelum ini yang agak uzur, kediaman baharu dianggarkan bernilai RM80,000 diberikan secara percuma oleh Kerajaan Johor itu dilengkapi dengan ruang tamu, dapur, tiga bilik tidur dan dua bilik air.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor