TIGA AGENSI BERGANDING BAHU PULIHARA HUTAN SIMPAN GUNUNG ARONG


Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Global Environment Centre (GEC) dan TH Plantations Berhad (THP) semasa Majlis Pelancaran Program Pemuliharaan Hutan Pesisir Pantai dan Tanah Gambut. 

 

Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Global Environment Centre (GEC) dan TH Plantations Berhad (THP) bekerjasama memelihara dan memulihara 4,300 hektar hutan pesisir pantai serta tanah gambut di bahagian timur laut Hutan Simpan Gunung Arong (HSGA), dekat Mersing.

 

Menerusi program berkenaan, THP memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan tujuh program bagi tempoh tujuh tahun bermula 2023 hingga 2029 melibatkan pelaksanaan kajian dan pengumpulan maklumat mengenai HSGA dan pelaksanaan kajian ‘community baseline assessment’ kawasan.

 

Seterusnya, pemulihan hidrologi di kawasan terdegradasi tanah gambut melalui aktiviti pembasahan semula tanah gambut, program penanaman semula 7,000 anak pokok, program rondaan dan pemantauan bersepadu dengan penglibatan komuniti setempat bagi pencegahan dan pengawalan kebakaran.

 

Selain itu, program tersebut juga tekad membangunkan inisiatif kelangsungan hidup masyarakat melalui aktiviti pemulihan hutan, rekreasi dan pelancongan serta membantu pengurusan zon penanaman yang dibangunkan oleh kumpulan petani atau masyarakat setempat.

 

Inisiatif yang digariskan secara tidak langsung akan menyokong aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan Kawasan Hutan Paya Laut dan Paya Gambut di Negeri Johor selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor