TMIYC BATU PAHAT BAKAL DIBINA DI PARIT RAJA

YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Usaha memperkasa Orang Muda Johor oleh Kerajaan Negeri diteruskan melalui Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Batu Pahat yang dijangka dibangunkan di tapak rizab Kompleks Sukan di Taman Pura Kencana, Sri Gading, Parit Raja.
Bakal menjadi projek strategik menyokong agenda ‘Sports Nation’ menjelang tahun 2030, projek di atas tanah seluas 10.58 ekar itu merangkumi tiga komponen utama iaitu rekreasi, keusahawanan dan dataran melibatkan pembinaan gelanggang terbuka, taman permainan, trek joging, gimnasium luar serta laman santai belia.
Bagi komponen keusahawanan, bangunan usahawan belia dan e-sukan serta kawasan trak makanan akan disediakan untuk menggalakkan aktiviti perniagaan orang muda tempatan diikuti komponen dataran yang menyediakan ruang terbuka bersama pentas dan litar ‘remote control’ (RC).
Dijangka menelan belanja sebanyak RM20 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan selepas kerja-kerja pembinaan dimulakan, TMIYC Batu Pahat bakal menjadi hab belia utama serta pusat interaksi sosial dan aktiviti komuniti yang dinamik di daerah berkenaan.
Pada ketika ini, status tapak TMIYC Batu Pahat sedang dalam proses pembersihan dan penambakan tanah oleh pemaju, sementara Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) sudah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk mencadangkan projek dalam projek Rancangan Johor 5 Tahun (RJ5T) Fasa 3.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#TMIYCxOMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor