TRADISI MUNJUNG KEKAL MEKAR DALAM BUDAYA MASYARAKAT JOHOR

Menjelang Aidilfitri, banyak keluarga di Johor akan menyediakan hidangan ‘berkongsi rezeki’ ini seperti lepat lui, rendang, sambal goreng, ayam masak merah atau variasi makanan tradisi untuk dihantar kepada jiran atau saudara mara yang menjadi sebahagian daripada intipati adat tersebut. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Kluang – Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, sudah pasti umat Islam di negeri ini kini sedang berada di fasa terakhir membuat pelbagai persiapan bagi merayakan hari lebaran kali ini.
Namun bagi rakyat Johor terutama sekali di kawasan desa, fasa terakhir Ramadan menjadi saat terbaik untuk mereka mengadakan sesi ‘munjung’ yang telah menjadi amalan tradisi budaya Bangsa Johor sejak zaman berzaman.
Tradisi munjung ini merujuk kepada amalan menghantar juadah kepada jiran, saudara-mara serta kenalan sebagai tanda ingatan dan cara mereka tersendiri dalam mengeratkan silaturahim sebelum tibanya Syawal yang bakal diraikan.
Bagi masyarakat di Johor, munjung bukan sahaja memberi makanan, sebaliknya menjadi lambang kasih sayang, kebersamaan serta semangat kejiranan yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
Menjelang Aidilfitri, banyak keluarga di Johor akan menyediakan hidangan ‘berkongsi rezeki’ ini seperti rendang, sambal goreng, ayam masak merah atau variasi makanan tradisi untuk dihantar kepada jiran atau saudara mara yang menjadi sebahagian daripada intipati adat tersebut.
Namun dalam kesibukan kehidupan masa kini, tidak semua mempunyai masa untuk memasak sendiri, sekali gus membuka ruang kepada penyedia makanan tempatan membantu memudahkan orang ramai meneruskan tradisi ini.
Bagi Eliza Mohamed, usahawan katering D’Eliza Kitchen, tempahan hidangan munjung yang dibuka setiap tahun bertujuan memudahkan masyarakat terutama yang sibuk bekerja untuk berkongsi juadah bersama jiran dan saudara-mara menjelang Aidilfitri.
Tambahnya lagi, walaupun kos bahan mentah meningkat, namun harga yang ditawarkan oleh perniagaannya masih mengekalkan tanda harga lama seperti tahun sebelumnya dengan saiz hidangan yang mencukupi untuk dinikmati oleh dua orang.
Ini bagi memastikan tradisi berkongsi rezeki ini bukan hanya akan dapat dikekalkan tetapi juga dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk mengamalkan budaya munjung ini, sekali gus menjadi sebahagian daripada identiti tradisi Bangsa Johor yang perlu dipertahankan.
#JohorSafeZone
#RaikanAidilfitri
#TradisiMunjung
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


