UNIKNYA JOHOR PADA …..


Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). | Foto MDJ Bayu Wira

 

Menjadi negeri terawal mempunyai perlembagaan bertulis pertama di Tanah Melayu dikenali Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang dimasyhurkan pada tahun 1895, maka tidak hairanlah Negeri Johor sejak dahulu hingga kini sentiasa menjadi peneraju dan berada pada kelas tersendiri dalam segenap aspek termasuk pendidikan.

 

Bahkan, sebelum itu lagi, kebijaksanaan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar yang mengasaskan sekolah Inggeris pertama dinamakan ‘Johor Free School’ pada tahun 1864 telah menjadi pemangkin kepada usaha melengkapkan Bangsa Johor dengan ilmu pengetahuan sekali gus melahirkan generasi pintar.

 

Menyedari kepentingan untuk rakyat mempelajari keseluruhan aspek kehidupan, kebitaraan pemerintahan Kesultanan Johor Moden diteruskan oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim pada tahun 1902 yang telah mewajibkan anak Johor beragama Islam mempelajari Pendidikan Islam seawal usia tujuh tahun.

 

Bagi Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sistem pendidikan terawal di negeri ini berjaya membentuk pemikiran yang terbuka dan seimbang dalam kalangan anak Johor.

 

Malah sistem pendidikan disediakan juga telah menjadi kekuatan dalam melahirkan generasi bersifat holistik bukan sahaja memiliki intelektual yang tinggi malah menguasai ilmu agama sekali gus meletakkan kedudukan Negeri Johor adalah berbeza dan mempunyai keunikan sejarahnya tersendiri.

 

Kini, kepemimpinan penuh bijaksana diwarisi oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan berkualiti yang menjadi asas kemajuan serta melahirkan kumpulan pentadbir negeri kreatif, inovatif dan berwawasan serta bersedia menghadapi cabaran.

 

Menjunjung kasih atas titah Pemangku Sultan Johor, Mohd Azhar menyeru rakyat negeri ini khususnya golongan belia menghayati dan berbangga dengan status Johor sebagai negeri moden dan berdaulat sejak tahun 1895 seterusnya tidak terpengaruh dengan anasir luar yang cuba menghasut dan menyebarkan kebencian.

 

Bangsa Johor juga seharusnya bangga dengan keperibadian mulia DYAM Tunku Mahkota Ismail kerana sentiasa menjadi pelindung apabila lantang menyuarakan soal kepentingan negeri dan rakyat, berfikiran jauh dan konstruktif serta mempunyai hubungan yang amat istimewa dengan jelata.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor