“USAH PANDANG RENDAH PIHAK LAWAN” – DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menegaskan pemain dan penyokong JDT untuk tidak memandang rendah lawan pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin menjadi pilihan utama untuk menjulang Piala FA 2025/26, namun Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT berpendapat bahawa pemain dan penyokong tidak seharusnya memandang rendah kepada pihak lawan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Ahad ini.

 

Bercakap dalam sesi perjumpaan penyokong di Vamos Coffee Roastery baru-baru ini, Tunku Ismail menegaskan bahawa JDT harus kekal dengan status selaku ‘underdog’, kerana kelab ini akan sentiasa dahagakan kejayaan seperti belum pernah menang apa-apa.

 

Selain itu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail telah mengingatkan para penyokong untuk menerima kenyataan sekiranya satu hari JDT tidak lagi mencapai apa-apa kemenangan dalam kejohanan domestik. Menurut Baginda, perkara yang paling penting adalah konsistensi daripada segi matlamat, inovasi dan kekal berjuang setiap tahun.

 

Mengikut rekod, JDT memiliki kelebihan besar selepas menundukkan pasukan Sabah FC musim ini termasuk kemenangan besar 8-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, September lalu.

 

Namun begitu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail menekankan bahawa keputusan tersebut tidak akan memberi makna di perlawanan akhir kerana pihak lawan pasti tampil dengan semangat dan intensiti yang berbeza. Baginda turut merujuk kepada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 ketika JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC.

 

“Jangan anggap kita boleh menang hanya kerana pernah kalahkan mereka dengan jurang besar di Stadium Sultan Ibrahim. Jangan fikir mereka akan menjadi pasukan yang sama dalam final.” – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Perlawanan akhir Piala FA 2025/26 pada Ahad ini (14 Disember) menyaksikan juara bertahan, JDT berhadapan dengan Sabah FC di SNBJ. Sekiranya JDT berjaya menewaskan lawan, skuad Harimau Selatan bakal melakar sejarah baharu sebagai pasukan pertama dalam negara yang memenangi Piala FA empat kali berturut-turut sejak tahun 2022.

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail telah memberi bayangan akan mengisytiharkan 15 Disember 2025 sebagai cuti khas sekiranya JDT berjaya membawa pulang piala berprestij tersebut.

 

Semoga kejayaan milik JDT. Luaskan Kuasamu Johor.

 

#JohorSafeZone
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor