USAHAWAN LUASKAN PERNIAGAAN ‘FOOD TRUCK’ KE RESTORAN


Muhammad Jamil Zaini (dua dari kanan) menerima bantuan peralatan perniagaan berjumlah RM3,500 dari Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Bermula sekadar hobi bagi mencuba pelbagai resepi baharu, kini aktiviti memasak menjadi punca pendapatan utama buat Muhammad Jamil Zaini, 38 sejak membuka Restoran Streetcrew di Kulai.

 

Berkongsi kisah awal kejayaannya, Jamil mula mengusahakan perniagaan makanan dan minuman menggunakan kendera saji di sekitar Kulai pada tahun 2012 sebelum berhijrah ke restoran tiga tahun berikutnya.

 

Dengan perancangan perniagaan yang strategik, ia turut mendorong Jamil mengemukakan permohonan bantuan peralatan perniagaan kepada Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) selaku badan bertanggungjawab memperkasa peranan usahawan menerusi inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri.

 

Hasilnya, beliau terpilih untuk menerima bantuan peralatan perniagaan daripada PUJB berupa satu unit sinki dapur, pengukus nasi dan peti sejuk beku berjumlah RM3,500 yang disifatkan Jamil sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti penyediaan makanan.

 

Selain itu, Jamil juga menasihatkan usahawan negeri ini agar tidak berputus asa dan percaya setiap rezeki yang datang adalah daripada Allah SWT selain berkeyakinan Kerajaan Johor mempunyai perancangan jelas untuk merancakkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Terdahulu, Jamil menerima bantuan peralatan perniagaan disampaikan YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kulai di Restoran Streetcrew, hari ini.

 

Hadir sama, YBhg Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai; YBhg Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai dan YBhg Mohammad Aliff A. Rahim, Pemangku Presiden Majlis Belia Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor