WAKTU OPERASI SISTEM RTS LINK AKAN DIKAJI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan YBhg. Encik Jeffrey Siow, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura menyaksikan Majlis Pengenalan Tren RTS Link 01 di Pusat Ujian Kereta Api Singapura (SRTC), Tuas. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Singapura – Kementerian Pengangkutan akan menjalankan kajian terperinci untuk menentukan waktu sesuai pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru – Singapura bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang apabila beroperasi kelak.

 

Kajian berkenaan mengambil kira keperluan pengguna utama khususnya kumpulan pekerja harian dari Johor yang memulakan perjalanan ke Singapura seawal jam 5 pagi untuk memaksimumkan kecekapan aliran trafik rentas sempadan.

 

Pembinaan RTS Link kini memasuki fasa baharu menerusi pelancaran rasmi tren pertama yang mencerminkan komitmen teguh Johor, Malaysia dan Singapura merealisasikan projek rel rentas sempadan yang dijangka memberi impak besar kepada masa depan kedua-dua negara.

 

Sistem pengangkutan awam tersebut akan menggunakan lapan set tren empat gerabak buatan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) yang mampu membawa lebih 600 penumpang setiap set dengan kapasiti keseluruhan menampung hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap perjalanan.

 

Selain itu, sehingga kini, kerja pemasangan sistem rel oleh RTS Operations Sdn. Bhd (RTSO) telah mencapai 56 peratus kemajuan bagi laluan 5.3 kilometer dari Depot Wadi Hana di Johor Bahru hingga Stesen Woodlands North di Singapura yang dijangka membawa dimensi baharu kepada kemudahan pengangkutan rentas sempadan.

 

Kerja pemasangan trek dan struktur utama termasuk jejambat marin, Stesen Bukit Chagar dan Depot Wadi Hana pula telah siap sepenuhnya dengan kerja dalaman di Depot Wadi Hana kini mencapai 80 peratus dan dijangka siap pada Oktober ini, manakala Stesen Bukit Chagar sedang dalam fasa pemasangan fasad bumbung ikonik.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan YBhg. Encik Jeffrey Siow, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura menyaksikan Majlis Pengenalan Tren RTS Link 01 di Pusat Ujian Kereta Api Singapura (SRTC), Tuas.

 

#RTSLink
#MoT
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor