ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA TUMPU TEKNOLOGI HIJAU


JS-SEZ juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dan memperkukuhkan ekosistem perindustrian di negeri ini selain ia juga akan menjadi kesinambungan kepada usaha strategik yang sudah dilaksanakan sebelum ini menerusi penubuhan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang turut berperanan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi hijau bagi menyokong agenda pembangunan yang lebih lestari, sekali gus membantu Johor untuk memenuhi permintaan global terhadap ekonomi berasaskan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

Langkah berkenaan disifatkan YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor bagi memelihara kelestarian alam sekitar serta memacu transformasi ekonomi Johor melalui pendekatan yang inovatif dan mampan.

 

Fokus tersebut dijangka dapat membawa impak besar bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi juga dapat meningkatkan daya saing dalam usaha menarik pelaburan global bagi sektor inovasi dan teknologi tinggi, seterusnya memastikan Johor kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

 

Selain itu, JS-SEZ juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dan memperkukuhkan ekosistem perindustrian di negeri ini selain ia juga akan menjadi kesinambungan kepada usaha strategik yang sudah dilaksanakan sebelum ini menerusi penubuhan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang turut berperanan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Johor.

 

Disokong dengan pakej insentif bagi menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif merangka pelan pembangunan JS-SEZ bagi meningkatkan kemasukan pelabur ke zon khas berkenaan secara berperingkat bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

 

Lebih memberangsangkan, Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas melibatkan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor-Singapura serta kemudahan sokongan lain di kawasan JS-SEZ termasuk usaha menarik pelaburan dalam sektor petrokimia, pusat data dan peranti perubatan melalui ekosistem sedia ada.

 

#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor