ZOO JOHOR TAMPIL DENGAN TARIKAN BAHARU DISEMBER INI

Zoo Johor diyakini akan menjadi destinasi wajib dikunjungi sempena Tahun Melawat Johor 2026. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Zoo Johor bakal tampil dengan wajah baharu dan lebih segar apabila pembangunan fasa kedua bernilai RM7 juta, dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini, sekali gus menjanjikan pengalaman pelancongan yang lebih interaktif, moden dan mesra keluarga menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Fasa kedua ini merangkumi pelbagai kerja naik taraf seperti laluan mesra orang kelainan upaya (OKU), enam kandang karnivor baharu, kandang herbivor di Zon 3 serta penambahbaikan landskap di beberapa zon terpilih.
Selain itu, Zoo Johor yang menawarkan harga tiket paling murah di Malaysia dan rantau ini juga akan melaksanakan kerja menaik taraf sistem perparitan baharu, pencawang elektrik padat serta penambahbaikan kandang kuarantin dan kurungan malam bagi menyokong kelancaran operasi harian.
Zoo Johor juga bakal memperkenalkan tarikan unik Zoo Waktu Malam (Night Zoo) yang akan menawarkan pengalaman berbeza setaraf dengan zoo antarabangsa yang lain, selain konsep ‘Petting Zoo’ bagi tujuan pendidikan, rekreasi dan pembelajaran interaktif.
Selain itu, aspek keselamatan turut diperkukuh dengan pembinaan dinding penghadang di kawasan berisiko serta penggunaan bahan binaan berkualiti bagi memastikan keselamatan pengunjung dan haiwan sentiasa terjaga.
Apabila siap sepenuhnya, Zoo Johor diyakini akan menjadi destinasi wajib dikunjungi sempena Tahun Melawat Johor 2026 serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat selaras dengan hasrat menjadikan Johor destinasi pelancongan utama di rantau ini pada masa akan datang.
#JohorSafeZone
#ZooJohor
#VisitJohor2026
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor