3.1 JUTA PELITUP MUKA DISALUR, LINDUNGI LEBIH 600,000 MURID JOHOR DARIPADA JEREBU

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka oleh JPBN Johor kepada JPNJ di Lobi Pejabat JPNJ. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Johor menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, agar kesihatan dan keselamatan warga pendidikan terus diberi keutamaan susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.
Menerusi inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor (JPBN) dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), sebanyak 3.1 juta pelitup muka disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi membantu melindungi lebih 600,000 murid di seluruh Johor.
Ia melibatkan murid dari Darjah 1 hingga Tingkatan 6 dengan setiap murid dijangka menerima antara dua hingga tiga pelitup muka mengikut keperluan di kawasan masing-masing.
Bekalan pelitup muka berkenaan disediakan merangkumi pelbagai saiz bersesuaian dengan keperluan pengguna, termasuk pelitup muka jenis N95 yang direka untuk menapis partikel halus di udara, sekali gus membantu mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemar seperti zarah PM2.5.
Penggunaan pelitup muka perlu mengambil kira kesesuaian jenis, tahap perlindungan dan panduan kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penyaluran bekalan ini diharap dapat membantu memenuhi keperluan murid sepanjang tempoh jerebu ini.
Usaha ini memperlihatkan kesiapsiagaan berterusan JPBN bersama agensi dan pihak berkaitan dalam melindungi kesihatan serta kebajikan warga pendidikan, di samping memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan berdasarkan situasi semasa dan nasihat daripada pihak berkuasa.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka oleh JPBN Johor kepada JPNJ di Lobi Pejabat JPNJ, hari ini.
Hadir sama, YB Dato’ Haji Nasri Md Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Encik Zulkurnain Abdul Rahman, Pengarah JPNJ dan YBhg. Encik Hishamuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.
#JohorSafeZone
#JerebuJohor
#JPBN
#YRZSNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



