OPERASI PEMBENIHAN AWAN HASILKAN HUJAN DI EMPAT KAWASAN DI JOHOR

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaksanakan operasi berkenaan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), melibatkan dua zon sasaran di negeri ini. | Foto NADMA
#IskandarPuteri – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan pada 19 Oktober 2026 berjaya membantu menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran di Johor, termasuk Kluang, Senai, Kulai dan Kota Tinggi, sebagai langkah mitigasi bagi menangani situasi jerebu yang masih melanda negeri ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaksanakan operasi berkenaan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), melibatkan dua zon sasaran di negeri ini.
Berdasarkan laporan operasi, analisis meteorologi menunjukkan kehadiran awan konvektif dan kumulus menara yang aktif di kawasan Kota Tinggi, Kulai, Senai dan Kluang, selain kelembapan atmosfera yang tinggi serta keadaan atmosfera tidak stabil yang menyokong pembentukan awan hujan.
Aktiviti hujan mula dikesan melalui cerapan radar cuaca seawal jam 4 petang, manakala data stesen meteorologi merekodkan taburan hujan sebanyak 29.7 milimeter (mm) di FELDA Sungai Sibol, Kulai dan 11.8 mm di FELDA Bukit Waha, Kota Tinggi.
Operasi pada 19 Oktober itu menyasarkan Zon A yang meliputi Pagoh, Parit Sulong, Yong Peng, Paloh, Ayer Hitam, Labis, Chaah, Bekok, Kluang dan Kahang, manakala Zon B melibatkan Simpang Renggam, Bandar Tenggara, Kulai, Senai, Skudai, Ulu Tiram dan Kota Tinggi.
Bagaimanapun, hujan tidak dapat dicerap di semua kawasan sasaran, manakala data radar menunjukkan anggaran taburan hujan di beberapa lokasi lain, termasuk Batu Pahat, Johor Bahru, Simpang Renggam, Pagoh, Pontian, Labis, Tangkak, Rompin dan Mersing.
Operasi pembenihan awan pada 19 dan 20 Oktober ini merupakan antara langkah mitigasi yang dilaksanakan bagi membantu menangani situasi jerebu di Johor, dengan keberkesanannya dipengaruhi oleh keadaan atmosfera dan faktor meteorologi semasa.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#METMalaysia
#PembenihanAwan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



