700 PENGUNJUNG BERJAYA DAFTAR PERMOHONAN RMMJ
ISKANDAR PUTERI — Inisiatif pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan agensi Kerajaan serta bukan kerajaan tidak hanya dapat memberi kemudahan kepada pengunjung tetapi juga membantu menyelesaikan beberapa urusan dengan berkunjung ke satu lokasi sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor yang hadir ke Program One Stop Centre 2.0 berkata, program ini akan tertumpu pada Rumah Idaman Bandar Putra Kulai yang akan melaksanakan proses undian ketika Ekspo Hartanah Johor, hujung bulan ini.
Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, program ini merupakan penganjuran kali kedua selepas julung kali diadakan pada 4 Disember tahun lalu.
“Program ini dilaksanakan bagi membantu warga penduduk daerah Kulai yang kurang mahir membuat permohonan dalam talian untuk permohonan rumah mampu milik di sistem eRUMAH Johor.
“Setakat ini, seramai lebih 1,000 pengunjung hadir pada program ini dan lebih 700 berjaya permohonan (menerusi sistem eRUMAH Johor) berjaya didaftarkan,” katanya.
Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) turut menjayakan program tersebut dengan membuka kaunter pendaftaran bagi akaun eRumah Sistem Perumahan Johor dan khidmat rundingan berkaitan permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
“Perkhidmatan permohonan bagi projek RMMJ di Bandar Idaman IOI Kulai dan projek-projek lain yang sedang diiklankan di Portal Hartanah Johor juga disediakan oleh pihak PKPJ.
“Ini secara tidak langsung menjadi mekanisme pemudah cara bagi rakyat daerah Kulai yang berminat untuk membuat permohonan bagi projek RMMJ,” jelas PKPJ di laman Facebook rasminya.
Terdahulu, PKPJ dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Yayasan Sejahtera Kulai dan IOI Properties mengambil bahagian dalam menjayakan Program One Stop Centre DUN Bukit Permai 2.0 di Dewanraya Kulai, Kampung Melayu Kulai baru-baru ini.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor