LAWATAN KERJA MAJLIS PERBANDARAN KULAI KE SINGAPURA


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd Fahmi Salam bersama wakil Princeton Digital Group (PDG), baru-baru ini. | Foto Ihsan Facebook Majlis Perbandaran Kulai

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mengadakan lawatan kerja ke Princeton Digital Group (PDG) di Singapura.

 

Memetik siaran dimuat naik MPKu, lawatan kerja diketuai Yang Dipertuanya, Mohd Fahmi Salam ke PDG itu bertujuan meninjau operasi syarikat berkenaan.

 

“Tujuan lawatan ini di adakan adalah bagi meninjau operasi syarikat ini yang akan membuka pejabat dan operasi yang sama di Sedenak Tech Park (STeP), Kulai dijangka fasa 1 pada Mei 2024.

 

“Pihak MPKu telah memberikan beberapa pandangan berkaitan keperluan perlaksanaan kelestarian teknologi hijau dan ‘Green Township’ dalam aspek pembangunan, manfaat projek dalam sektor peluang pekerjaan dan perniagaan sokongan khususnya Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada penduduk setempat,” jelas MPKu dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Media Digital Johor sebelum ini melaporkan PDG yang juga penyedia perkhidmatan pusat data terkemuka Asia, akan membuat pelaburan bernilai RM2 bilion bagi membangunkan pusat data berkapasiti 150 megawatt (MW) di STeP.

 

Sementara itu, dalam lawatan sama ke negara jiran, delegasi MPKu turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura.

 

“Pihak MPKu telah diberi penerangan berkaitan potensi sektor pelaburan di Malaysia dan negeri Johor. Selain itu, pihak MPKu juga berkongsi maklumat berkaitan dengan inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) yang kini diperluaskan sebagai Johor Fast Lane (JFL) serta potensi pelaburan di kawasan Kulai dan Greater JB.

 

“MPKu mensasarkan peluang baharu pelaburan ke daerah ini dalam usaha menarik pelabur dari Singapura,” jelas MPKu dalam siaran tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor