8 SEKOLAH DI MERSING DAN BATU PAHAT JADI PPS SMART PARTNERSHIP


Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melakukan lawatan ke daerah Batu Pahat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat / Gambar MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

BATU PAHAT — Lapan sekolah di daerah Mersing dan Batu Pahat akan menjadi sekolah rintis dalam pelaksanaan pusat pemindahan sementara (PPS) secara perkongsian pintar bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia akan dapat membolehkan setiap PPS berkenaan akan dapat dipersiapkan dan pada masa sama mobilisasi pemindahan mangsa banjir akan dapat dilakukan dengan lebih cekap.

“Kita mulakan (PPS Perkongsian Pintar) di lapan sekolah di Johor. Di Mersing dan Batu Pahat khususnya di Parlimen Parit Sulong untuk membina dewan sekolah yang akan dijadikan PPS tetap.

“Di luar musim banjir, dewan PPS Perkongsian Pintar ini akan digunakan oleh pihak sekolah untuk aktiviti mereka kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke daerah Batu Pahat dan tinjauan banjir di Seri Medan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau juga sudah meminta Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mewujudkan satu rejimen APM di setiap 222 kawasan parlimen di seluruh negara.

“Dengan mengadakan latihan, pemberian pakaian seragam dan jika berlaku banjir atau kebakaran atau kemalangan atau keperluan lain (ia dapat digerakkan dengan pantas).

“Ini (penubuhan rejimen) akan dilakukan pada tahun 2023 ini juga dan kita harap dengan adanya koordinasi ini kita akan dapat mengambil langkah awal secara keseluruhan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor