RM2 JUTA BAGI PELAKSANAAN KERJA MENGATASI MASALAH BANJIR


Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melakukan lawatan ke daerah Batu Pahat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Medan / Gambar MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

BATU PAHAT — Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan diberi peruntukkan sebanyak RM2 juta bagi mengatasi masalah yang menjadi penyebab banjir di kawasan sekitar daerah Batu Pahat.

Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan hujan walaupun agak berkurangan namun Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan negara kini memasuki siri hujan yang berada di situasi berbahaya.

Katanya, amaran hujan berterusan siri ke-10 ini dijangka berlanjutan sehingga 4 Februari ini terutama kawasan yang menjadi fokus Jawatankuasa Banjir di Peringkat Negeri dan Daerah.

“Untuk daerah Batu Pahat sahaja, beberapa cadangan penyelesaian untuk menangani dan mendepani masalah banjir telah dilakukan. Antaranya ialah program pelaksanaan segera (terhadap masalah banjir).

“Antaranya ialah masalah berlaku ‘bottle neck’ iaitu saluran air tidak dapat mengalirkan air banjir daripada kawasan rendah yang juga dikenali sebagai banjir termenung. Keduanya ialah paras laut kini berada lebih tinggi daripada (kawasan) daratan.

“Ketiga, kita lihat kaedah penyelesaian mestilah menggunakan pam-pam berkuasa tinggi untuk diletakkan di kawasan yang dikenal pasti oleh JPS dan keempat pula ialah jalan kampung R1 dan R2 yang terjejas dan mengalami kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke daerah Batu Pahat dan tinjauan banjir di Seri Medan di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah pelaksanaan segera ini akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memastikan keberhasilan dalam menyelesaikan masalah parit ‘sebu’ yang mana kadar lumpur dan sampah sarap didalamnya akan dapat diatasi secepat mungkin.

“NADMA melalui JPS akan memberi peruntukkan segera sebanyak RM2 juta untuk kerja mengatasi masalah berkenaan.

“Kedua, JPS juga turut mencadangkan juga pam air berkuasa tinggi untuk mengepam air banjir sebaik sahaja air di laut mula menurun. Untuk ini juga peruntukan daripada NADMA telah dibincangkan dan tidak kurang daripada RM5 juta untuk pembeliannya yang mana agensi pelaksananya adalah JPS,” katanya.

Beliau berkata, bagi jangka panjang pihaknya sedar satu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) juga dijangka perlu dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir pada masa akan datang.

“Kita tahu peruntukan di Mersing memerlukan RM2.3 bilion tetapi di Batu Pahat agak kurang sedikit, namun kita tidak ambil ringan masalah di daerah ini.

“Peruntukan ini tidak sebesar di Mersing tetapi (angkanya) berbilion juga. Ia akan dimasukkan di dalam ulang kaji pertengahan penggal Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 tetapi saya berharap pelaksanaan segera dapat dilaksanakan segera,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor