86 PERATUS MASJID, SURAU JOHOR DILENGKAPI WIFI

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Negeri memperkasa syiar Islam menerusi inisiatif penyediaan jaringan internet menyaksikan sebanyak 278 masjid dan surau di Negeri Johor bersamaan 86 peratus kini sudah dilengkapi kemudahan WiFi.
Satu perancangan terperinci akan digerakkan bermula pada tahun ini, melibatkan aspek pengurusan termasuk pembayaran bil untuk memastikan jawatankuasa masjid dan surau lebih cakna serta bertanggungjawab terhadap kemudahan disediakan.
Langkah yang diambil turut melibatkan usaha mempergiat penggunaan WiFi dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid dan surau supaya inisiatif berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan komuniti setempat.
Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut merancang memilih beberapa masjid dan surau sebagai projek rintis bagi menilai keupayaan pengurusan dan pengoptimuman penggunaan WiFi sebagai medium pendidikan serta aktiviti pengimarahan.
Sementara itu, lebih RM10 juta diperuntukkan untuk membantu masjid dan surau yang mengalami kerosakan meliputi kerja baik pulih serta pembekalan keperluan asas dengan kaedah penilaian menyeluruh dilakukan setakat Mei lalu.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#MasjidSurau
#SyiarIslam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor