PAMERAN SENI VISUAL KETENGAH KEUNIKAN BUDAYA SERUMPUN
Pameran Seni Visual ‘Vision Unveiled: The Interaction of Arts Through Conventional and Digital Exhibition 2023′ berjaya mengangkat apresiasi seni dan budaya dari pelbagai negara bagi menghayati karya seni dalam bentuk lukisan, catan, kolaj, cetakan, catan digital dan pelbagai lagi yang hadir dengan penyampaian mesej terdiri daripada setiap sudut perincian.
Berlangsung bermula 4 hingga 15 Oktober di KOMTAR JBCC, pameran antarabangsa itu diadakan bagi memperkayakan pemahaman umum mengenai kekayaan dunia seni konvensional dan digital dalam bentuk kehidupan, pengalaman, perasaan dan perjalanan sebagai seniman dalam dunia seni selain membangunkan jaringan dan hubungan antara pelbagai pihak terlibat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dato’ Mohd Noorazam Osman berkata, pameran dianjurkan menjadi titik pertemuan global yang menyambut kepelbagaian budaya, inovasi dan apresiasi terhadap seni dari pelbagai negara di samping memperkenalkan Johor Bahru di mata antarabangsa.
“Memperkasa budaya tidak semestinya kita tonjolkan dalam bentuk fizikal yang boleh saja dalam bentuk tarian, gerakan dan persembahan budaya. Tetapi seni konvensional dan digital juga adalah langkah relevan untuk kita mengapresiasikan budaya. Malah melalui program seperti ini kita turut memperkasa kemahiran bakat seni anak muda dan para seniman ke satu tahap penghargaan tertinggi,” kata beliau.
Tambah Mohd Noorazam, penganjuran pameran membawa kepada satu gagasan penerokaan atau eksplorasi yang mengintegrasikan seni konvensional dan digital dengan jangkaan hasil mampu membawa kepada penciptaan model terbaik yang merangkul keunikan dan kekayaan budaya masyarakat serumpun.
Terdahulu, teks ucapan perasmian majlis Mohd Noorazam dibacakan oleh Ahli Majlis MBJB Zon Bandar Baru UDA, Datuk Yahya Jaafar. Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Johor Corporation (JCorp), Wan Su Ali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr, Norkhalid Salimin serta Pengarah Program, Ismadi Mohd Arsad.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor