PAKEJ GALAKAN CUKAI TINGKAT DAYA SAING PIPC : JPDC


Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sebagai hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk cukai khas atau elaun cukai pelaburan. | Foto ihsan JPDC

 

Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sebagai hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk cukai khas atau elaun cukai pelaburan dalam Belanjawan 2024.

 

“Pakej galakan cukai tersebut akan meningkatkan daya tarikan dan daya saing PIPC sebagai destinasi pelaburan khususnya dalam menarik syarikat-syarikat petrokimia dan kimia Malaysia dan antarabangsa untuk menempatkan operasi mereka di PIPC sejajar dengan sasaran Kerajaan Malaysia membentuk ekosistem aktiviti ekonomi bernilai tinggi,” jelas JPDC dalam satu kenyataan.

 

JPDC memaklumkan PIPC merupakan kawasan industri hiliran minyak dan gas serta industri petrokimia seluas 22,904 ekar di Pengerang yang mula dibangunkan sejak 2013, menempatkan pelbagai kemudahan seperti loji penapisan minyak dan penghasilan petrokimia, terminal pengangkutan produk cecair, tangki penyimpanan minyak mentah serta prasarana sokongan lain.

 

“Pembangunan PIPC dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 25 tahun dari tahun 2013 hingga 2037 dalam empat fasa. Sehingga pertengahan fasa kedua pembangunan PIPC (2020-2025), PIPC telah menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion,” jelas JPDC lagi.

 

Antara pelabur pemangkin beroperasi di PIPC adalah PETRONAS yang memajukan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) bersama rakan usahasama seperti Saudi Aramco dan LG Chemical diikuti DIALOG Group Berhad yang memajukan Terminal Laut Dalam Pengerang bersama rakan usahasama seperti Royal Vopak, PETRONAS dan Kerajaan Johor serta Johor Corporation (JCorp) yang memajukan Taman Perindustrian Pengerang.

 

“Untuk fasa-fasa pembangunan PIPC seterusnya, JPDC mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat penghasil produk kimia khusus dan pembuat produk berasaskan petrokimia,” tambah JPDC dalam kenyataan tersebut.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor