APM JOHOR LATIH 65,701 ORANG AWAM HADAPI MTL
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor melatih 65,701 orang awam sepanjang tahun ini, menerusi penerangan dan pendedahan berkaitan risiko bencana sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula awal November lalu.
Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar memaklumkan latihan tersebut merangkumi ceramah keselamatan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir menerusi program ‘Community Based Disaster Risk Management’ (CBDRM).
Selain itu, APM Negeri Johor juga mengambil pendekatan signifikan dengan menganjurkan program keselamatan melibatkan pelajar sekolah dengan memberikan ilmu dan pengetahuan asas pertahanan awam.
Menerusi inisiatif berkenaan, masyarakat diharapkan mampu bertindak lebih awal sekiranya berlaku bencana atau kecemasan di kawasan masing-masing, sementara menunggu bantuan lanjut daripada pasukan penyelamat.
Selain itu, seramai 1,264 pegawai dan anggota APM di negeri ini, sudah menjalani latihan berkala melibatkan latihan menyelamat di air, pengendalian bot, pengoperasian bilik gerakan, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta latihan masakan kecemasan.
Bagi memantapkan lagi kekuatan penugasan ketika MTL, seramai 1,852 anggota sukarela berdaftar sudah diberikan latihan asas pertahanan awam yang dijalankan di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS), Kluang.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor