PADU MAMPU JADI TERAS PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN DI DAERAH JOHOR BAHRU
Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini diyakini mampu mengumpul maklumat penting rakyat Malaysia dan seterusnya dapat membantu agenda pembasmian kemiskinan tegar pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, memberitahu pihaknya menyokong penuh pembangunan sistem terbaharu yang diperkenalkan oleh kerajaan itu yang dilihat mampu menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan.
“Isu pembasmian kemiskinan ini sangat dekat di hati saya kerana sebelum ini saya banyak terlibat dengan aktiviti sukarelawan yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Difahamkan, banyak data tentang kemiskinan rakyat sebelum ini tidak selari dengan apa yang beliau dapati ketika berada di lapangan.
“Kerisauan tersebut akan menyebabkan peningkatan angka golongan miskin bandar. Pembasmian kemiskinan ini perlu diberi lebih perhatian supaya ia seiring dengan hasrat Negeri Johor untuk menuju ke arah negeri yang maju menjelang 2030,” katanya kepada Media Digital Johor.
Penerangan tentang sistem PADU ini telah dilaksanakan di setiap peringkat daerah dan juga di peringkat ketua kampung, di mana semua pihak telah diarahkan untuk turun ke lapangan bagi menjalankan tugas mengumpul data masyarakat.
Menerusi pengumpulan data ini, pihak kerajaan boleh membuat penilaian semula berkenaan dengan insentif yang diberikan kepada rakyat, sama ada insentif tersebut relevan atau tidak kepada sesuatu golongan. Secara tidak langsung, tindakan ini juga dapat merangka polisi baharu demi menjayakan program pembasmian kemiskinan pada masa depan.
#BangsaJohor #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor