KESELESAAN PETUGAS KESIHATAN JADI KEUTAMAAN


YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor telah menyempurnakan penyerahan cek cura bantuan pantri di Bangunan Poliklinik Pakar, Hospital Sultanah Aminah. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Kebajikan dan keselesaan petugas kesihatan terutama di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri menerusi pelaksanaan inisiatif Johor Prihatin dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

 

Inisiatif di bawah Strategi Mensejahterakan Penjawat Awam di dalam Belanjawan Johor 2024 itu memperuntukkan sebanyak RM2.32 juta bagi meningkatkan keselesaan 465 bilik pantri fasiliti kesihatan seluruh negeri sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pengorbanan hampir 10,000 petugas barisan hadapan.

 

Menyambut baik inisiatif berkenaan, Hairul Hapizi Samaon, Pegawai Pemulihan Perubatan Fisioterapi HSA menyifatkan bantuan diterima adalah tepat pada masanya serta melambangkan kecaknaan Kerajaan Negeri terhadap keadaan bilik pantri yang sering digunakan petugas kesihatan untuk berehat.

 

Selain itu, peruntukan disediakan Kerajaan Negeri bernilai RM390,000 bagi menaik taraf 78 unit pantri di HSA membantu para petugas untuk menambah peralatan yang sering digunakan sewaktu berehat selepas berhempas pulas memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

 

Terdahulu, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor telah menyempurnakan penyerahan cek cura bantuan pantri di Bangunan Poliklinik Pakar HSA, selain turut meluangkan masa melawat petugas di Unit Fisioterapi dan ruang pantri Klinik Ortopedik.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor