ELEMEN SAINS SUKAN BANTU PERSIAPAN KONTINJEN JOHOR


Jurulatih suaian fizikal di The Cage by Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Jika anda mahu bergerak cepat, jalan bersendirian. Jika anda mahu bergerak jauh, jalan beramai-ramai. Pepatah yang cukup sinonim dengan kerjasama berpasukan ditunjukkan keluarga Majlis Sukan Negeri Johor terutamanya pasukan sokongan di bawah bumbung ‘The Cage by MSNJ’.

 

Fasiliti berkenaan menjadi pusat sukan pertama di Johor dengan kelengkapan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan sains sukan dan kemudahan seperti gimnasium, bilik konsultasi, pakar psikologi dan nutrisi, pusat data atlet serta bahagian pemulihan khas untuk atlet Johor.

 

Dengan kekuatan tujuh petugas ditempatkan di The Cage Nusa Duta, sistem sokongan atlet di bawah MSNJ juga disifatkan holistik menerusi barisan pakar di dalam bidang suaian fizikal, nutrisi dan psikologi atlet selain dua staf yang turut memainkan peranan signifikan di fasiliti sama terletak di daerah Kluang.

 

Penggunaan elemen sains sukan bukanlah asing kerana ia amat signifikan bagi memantau perkembangan atlet yang menjadi tanggungjawab jurulatih suaian fizikal bagi memastikan prestasi serta kecergasan mereka di tahap terbaik menjelang kejohanan penting termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

 

Selain itu, pakar pemakanan atau nutrisi pula akan memastikan atlet mengambil makanan seimbang dan memenuhi keperluan fizikal mengikut jenis sukan yang disertai sekali gus mengelak daripada terperangkap dengan isu doping dan menjejaskan penyertaan mereka.

 

Dari sudut ketahanan mental pula, jurulatih psikologi akan memastikan fokus atlet tidak terjejas dan sentiasa bermotivasi untuk melakukan aktiviti fizikal dan latihan menerusi kepakaran dimiliki bagi membantu mereka mengekalkan tumpuan dan ketenangan apabila diprovokasi penonton atau pihak lawan.

 

Menerusi sentuhan pakar dimiliki ‘The Cage by MSNJ’, ia secara tidak langsung memberi ruang kepada atlet untuk menumpukan sepenuhnya kepada latihan taktikal dan teknikal dalam usaha mencapai prestasi terbaik seterusnya menghadiahkan kejayaan buat kontinjen Johor pada SUKMA XXI Sarawak 2024.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor