PEMILIK, PEMAIN DAN PENYOKONG SIMBOL MUAFAKAT JDT


Momen bersejarah malam perlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 

Tiada umpat yang membunuh dan tiada puji yang mengenyang. Itulah pahit getir perjuangan dan cabaran… onak, duri serta ranjau yang terpaksa dihadapi oleh sang juara Piala FA 2024, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang sedekad penubuhannya.

 

Semangat keperwiraan hulubalang pendekar Melayu sejati yang ada dalam diri semua orang yang berlencanakan ‘The Roaring Tiger’ pasti pantang berundur walaupun apa jua yang berlaku dan akan sentiasa bermuafakat sepanjang masa.

 

Lebih bermakna, pasukan khas ‘SEAL Army’ JDT ini dipimpin sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang bukan sahaja berjaya mengemudi badai yang ganas, tetapi menjinakkan samudera yang luas apabila mendakap 28 trofi hanya dalam tempoh 10 tahun, sesuatu yang dianggap mustahil pada mulanya, tetapi menjadi realiti yang amat manis.

 

Keperibadian dan perwatakan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sepanjang Baginda menjalani latihan ketenteraan dahulu diguna pakai dalam kehidupan harian, malah Baginda membuktikan perjuangan bersama pemain-pemain sepanjang kempen Piala FA adalah satu perkara yang membanggakan.

 

Seperti paparan video sesi Baginda Tunku bersama pemain JDT pada waktu latihan dan sebelum bermulanya perlawanan akhir Piala FA di bilik persalinan yang tular di laman JOHOR Southern Tigers (JST), aura dan sorakan gendang perang Baginda kepada pemain-pemain dilihat jelas memberi impak motivasi demi perjuangan terakhir yang perlu dibuktikan dalam padang.

 

Hasil daripada pengorbanan Baginda Tunku terhadap pemain, JDT berjaya mendakap Piala FA untuk tahun ketiga berturut-turut dan kejayaan keempat menjuarai Piala FA secara keseluruhan. Ia sekali gus membolehkan JDT mengumpul 28 trofi yang diiktiraf sejak penubuhan kelab pada 2013.

 

Lebih memberangsangkan, JDT turut berjaya menukilkan kemenangan besar pada malam perlawanan akhir dengan rekod jaringan 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan ia merupakan kemenangan terbesar yang pernah dicatatkan dalam sejarah Piala FA, sejak trofi itu diperkenalkan pada tahun 1990.

 

Imbas kembali, permainan persepsi yang agresif sebelum perlawanan yang diwar-warkan oleh pihak luar seolah ia akan mengganggu prestasi Harimau Selatan. Namun, perang saraf itu ternyata gagal memberi kesan kepada pemain mahupun penyokong, malah ia menjadi pembakar semangat kepada seluruh keluarga JDT untuk bersatu hati demi empayar gah Harimau Selatan ini.

 

Peranan DYAM Tunku Mahkota Ismail, juga ternyata memberi kesan positif apabila Baginda kerap memberi pesanan kepada seluruh keluarga JDT agar bersatu padu dan tidak mengendahkan perkara negatif yang boleh memecah belahkan Bangsa Johor. Baginda Tunku selalu mengingatkan bahawa Johor sudah lali untuk ‘berjalan bersendirian’ tanpa ada sokongan, tapi masih mampu bertahan menghadapi semua dugaan yang mendatang.

 

Simbol muafakat daripada tiga elemen ini berjaya melahirkan golongan yang matang, tidak mengendahkan provokasi luar dan hanya fokus menyokong Harimau Selatan sehingga ianya telah berjaya mengangkat sebuah empayar bola sepak ke tahap yang lebih tinggi di persada arena sukan negara.

 

“Sesetengah orang memang dilahirkan untuk berjuang. Berhadapan cabaran demi cabaran, jatuh dan terluka dalam pelbagai cara, namun yang satu ini dilahirkan untuk berjuang,” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor

 

Luaskan Kuasamu Johor!

 

#SudutPandangPenyokong
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor