PENTAKSIRAN PKSK DAN MPT4 DITANGGUH SUSULAN JEREBU

Kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang dijadualkan pada 12 Oktober 2026 serta Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) di seluruh Negeri Johor akan ditangguhkan susulan penutupan sekolah akibat keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan memaklumkan semula tarikh baharu pelaksanaan PKSK kepada calon yang terlibat, manakala MPT4 dan pentaksiran lain juga akan dijadualkan semula berdasarkan ketetapan daripada Lembaga Peperiksaan dan JPNJ.
Guru dan pegawai yang terlibat dalam pelaksanaan PKSK tidak perlu hadir bagi pentaksiran berkenaan, manakala pihak sekolah dan pusat PKSK diminta supaya memaklumkan perubahan tersebut kepada ibu bapa, penjaga serta calon masing-masing.
Pada masa sama, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan sekolah bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan walaupun tidak perlu hadir secara fizikal di sekolah.
JPNJ bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa dan ketetapan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Terdahulu, Kerajaan Johor memaklumkan pelanjutan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri ini selama lima hari, iaitu bermula pada 12 hingga 16 Oktober 2026, susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara.
#JohorSafeZone
#JerebuJohor
#PKSK
#MPT4
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



