PELABUR TAK SABAR KE JOHOR


Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor ketika ditemui pada program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Mengangkat aspirasi Kerajaan Johor bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ), Invest Johor memberi penekanan khusus terhadap kerjasama dengan agensi berkepentingan di peringkat Negeri dan Persekutuan.

 

Kerjasama tersebut bagi Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor memberi keyakinan dan dorongan untuk bekerja kuat dalam memastikan Johor mencatatkan peningkatan signifikan dalam pelaburan asing apabila banyak syarikat telah menunjukkan minat melabur sejurus perjanjian JS-SEZ ditandatangani.

 

Perjanjian JS-SEZ yang bakal dimeterai pada 8 Disember ini akan membawa kesan positif kepada ekonomi Johor termasuk peningkatan pendapatan melalui percukaian, peluang pekerjaan baharu, limpahan ekonomi meluas seterusnya membantu memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.

 

Ia secara tidak langsung memperkukuh nilai rantaian bekalan dan mengisi jurang tenaga mahir dalam negeri dan negara menerusi kemasukan pelabur asing terutamanya dari sektor seperti ekonomi digital, tenaga, logistik, penjagaan kesihatan, pembuatan lanjutan (advanced manufacturing) serta peranti perubatan.

 

Bagi memastikan kelancaran gerak kerja di kawasan JS-SEZ, Invest Johor sedang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) dan enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah zon khas berkenaan bagi mencapai hasrat dan objektif ditetapkan.

 

Malah, sinergi antara Invest Johor dan Invest Malaysia menerusi Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) juga berupaya memastikan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di bawah JS-SEZ dan FCSFZ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor