PROGRAM HELP: SELUHUR KASIH, SIMBIOSIS TERCIPTA TERUS MEMASUKI TAHUN KETIGA

Menerusi Unit Psikologi dan Kaunseling BPSM, usaha menyantuni penerima bantuan turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan emosi dan psikologi, selain memastikan mereka yang memerlukan sentiasa mempunyai ruang untuk mendapatkan bantuan dan sokongan yang sewajarnya. | Foto Nurina Aisyah
#JohorBahru – Seramai 300 penjawat awam dan pesara dari seluruh daerah di Johor disantuni menerusi Program HELP: Seluhur Kasih, Simbiosis Tercipta yang dilaksanakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB).
Program yang telah memasuki tahun ketiga pelaksanaan itu menjadi manifestasi keprihatinan Kerajaan Johor terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara yang berdepan musibah serta cabaran kehidupan, menerusi penyampaian bantuan kewangan, barangan keperluan harian serta sokongan dari sudut psikologi dan kaunseling.
Bagi Siti Nurain Mohamed Ayob, Penolong Kurator di Muzium DiRaja Abu Bakar, Istana Besar Johor, bantuan yang diberikan menerusi Program HELP sememangnya amat bermakna dalam membantu meringankan beban kebajikan dan kewangan yang ditanggungnya bersama suami.
Beliau yang kini menguruskan anaknya, Ungku Muhammad Aisy Ungku Muhammad Naqiuddin, 4 tahun yang sedang mendapatkan rawatan pemulihan penyakit ‘soft archade palate’ menarik nafas lega apabila sumbangan yang diterima dapat membantu meringankan beban dalam menguruskan keperluan anaknya yang sedang menjalani rawatan.
Menerusi Unit Psikologi dan Kaunseling BPSM, usaha menyantuni penerima bantuan berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan emosi dan psikologi, selain memastikan mereka yang memerlukan sentiasa mempunyai ruang untuk mendapatkan bantuan dan sokongan yang sewajarnya.
Terdahulu, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor menyempurnakan pelepasan delegasi rombongan Program HELP: Suluhur Kasih Simbiosis Tercipta Tahun 2026 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Haji Nasri Md Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); Tuan Haji Ahmad Nazir Haji Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YM Ungku Suzana Ungku Mohammad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat).
Hadir sama ialah YBhg. Puan Hajah Zihan Ismail, Presiden AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor serta YBhg. Tuan Haji Ab. Razak Khalid, Setiausaha Bahagian BPSM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.
#JohorSafeZone
#PejabatSUKJohor
#HELP
#SeluhurKasihSimbiosisTercipta
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


