KURNIAAN BERHARGA UNTUK ORANG MUDA JOHOR


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama Orang Muda Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) cetusan ilham Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menterjemahkan cerminan visi yang jelas dalam mempersiapkan belia di negeri ini, lebih bersedia hadapi cabaran.

 

Dilengkapi dengan infrastruktur dan prasarana serba lengkap, Mohammad Aliff A. Rahim, Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menyifatkan TMIYC sebagai kurniaan berharga kepada generasi muda menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing.

 

TMIYC yang dibina mengikut aspirasi dan lokaliti setiap daerah mengangkat keunikan Johor kerana sentiasa mendengar aspirasi seterusnya mengutamakan pembentukan jati diri identiti Bangsa Johor dalam kalangan belia sekali gus meletakkan negeri ini dalam kelas tersendiri.

 

Dengan terbinanya hab aktiviti belia di Johor Bahru, Renggam dan terbaharu di Muar, Mohd Faiz Mohamad, Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat berharap pembangunan TMIYC dapat turut dibina di Segamat untuk dinikmati orang muda demi pembangunan mengikut acuan Johor.

 

Kemudahan lengkap seperti gelanggang sukan dan aktiviti lain, TMIYC bukan sahaja dapat menyatukan belia malah memberikan alternatif untuk memenuhi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat sekali gus mewujudkan masyarakat belia yang lebih produktif.

 

Kewujudan TMIYC turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa pembangunan belia secara holistik dan berkebolehan dalam pelbagai aspek kehidupan serta mengasah bakat kepimpinan selari dengan Teras Orang Muda Johor dalam Agenda Maju Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor