MOU BUKA LEMBARAN BAHARU PELANCONGAN JOHOR-SINGAPURA


Sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PSHolidays.com dari Johor dengan EU Holidays dari Singapura. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PSHolidays.com dari Johor dengan EU Holidays dari Singapura menjadi antara fokus penyertaan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) dalam Pameran Perdagangan Pelancongan ITB Asia 2024.

 

Berlangsung di Sands Expo & Convention Centre, Singapura pada 23 hingga 25 Oktober lalu, kolaborasi yang membuka lembaran baharu bagi kerjasama pelancongan Johor-Singapura itu menyaksikan kedua-dua agensi menandatangani perjanjian untuk bersama mempromosikan pelbagai pakej menarik.

 

Antaranya, pakej eksklusif melibatkan tiket perlawanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), penginapan dan pengangkutan, lawatan berpandu serta pengalaman pelancongan unik memperlihatkan sejarah, budaya mahupun makanan Johor.

 

Malah inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk menarik peminat bola sepak dan ekspatriat dari negara republik itu ke negeri ini sekali gus meningkatkan pelancongan rentas sempadan serta mengeratkan hubungan antara Johor dan Singapura.

 

Selain PSHolidays.com, ITB Asia 2024 yang merupakan antara acara tahunan pelancongan terkemuka turut disertai agensi dan pemain industri pelancongan Johor seperti Tourism Johor, LEGOLAND Malaysia, dan Forest City Golf Resort.

 

Penyertaan tersebut menjadi platform bagi mempamerkan dan mempromosikan produk serta tawaran pelancongan Johor kepada pasaran antarabangsa ke arah Tahun Melawat Johor 2026 selain jaringan perniagaan di mana JETCO serta agensi dapat berinteraksi dengan pemain industri pelbagai negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor