JOHOR–SINGAPURA BUKA BAB BAHARU KERJASAMA EKONOMI

Hubungan Johor–Singapura yang terjalin sejak sekian lama kini memasuki fasa baharu yang lebih strategik, membuktikan bahawa sempadan geografi bukan penghalang, sebaliknya menjadi penghubung kepada peluang dan kemajuan bersama. | Foto MEDKOM
#IskandarPuteri – Penubuhan Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) membuka lembaran baharu hubungan strategik antara dua wilayah berjiran yang berkongsi kepentingan ekonomi dan aspirasi untuk membina masa depan rantau yang lebih makmur.
Hubungan Johor–Singapura yang terjalin sejak sekian lama kini memasuki fasa baharu yang lebih strategik, membuktikan bahawa sempadan geografi bukan penghalang, sebaliknya menjadi penghubung kepada peluang dan kemajuan bersama.
Daripada pembangunan Iskandar Malaysia dua dekad lalu kepada pemeteraian Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada 7 Januari 2025, kerjasama kedua-dua pihak terus diperkukuh demi meningkatkan daya saing ekonomi serantau.
Keyakinan terhadap kerjasama ini dizahirkan menerusi JS-SEZ yang merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM88.83 bilion bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, dengan RM42.64 bilion daripadanya telah direalisasikan.
Peralihan daripada Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) kepada JSCMC menandakan kesinambungan hubungan dua hala yang semakin matang, dengan tumpuan kepada penyelarasan dasar dan pelaksanaan inisiatif bersama.
Menerusi JS-SEZ, kekuatan Johor dalam pembangunan industri dan tenaga kerja dapat melengkapi keupayaan Singapura dalam kewangan, perdagangan dan rangkaian perniagaan antarabangsa, sekali gus membuka peluang pertumbuhan yang saling menguntungkan.
Bagi Johor, kejayaan kerjasama ini perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan dan peluang perniagaan yang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kemudahan perniagaan, infrastruktur, utiliti, pembangunan bakat tempatan dan penyelarasan antara agensi, manakala Pelan Induk JS-SEZ yang bakal dilancarkan akan menjadi panduan penting bagi hala tuju pembangunan zon ekonomi berkenaan.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, menghadiri mesyuarat pertama JSCMC di Singapura bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, serta kepimpinan Kerajaan Malaysia dan Singapura bagi memperkukuh kerjasama strategik ke arah kemakmuran bersama.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#JSCMC
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


