JOHOR BAHRU MENUJU BANDAR PINTAR ANTARABANGSA
Johor Bahru berada di landasan tepat mencapai status bandar pintar bertaraf antarabangsa selari dengan aspirasi Bandar Pintar Johor 2030 menerusi kewujudan Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC) di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Dalam Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15 juta untuk membina pusat kawalan dan arahan di MBJB selain Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang berperanan signifikan dalam pengurusan trafik dan pengangkutan awam, infrastruktur bandar, bencana serta penguatkuasaan undang-undang.
Langkah berkenaan merupakan usaha mempergiatkan hasrat Johor menjadi peneraju transformasi bandar pintar negara terutama MBJB dengan meletakkan sasaran mencapai status ‘Leading Smart City’ menjelang tahun 2025 – 2026 menerusi penggunaan aplikasi teknologi canggih dalam pengurusan bandar.
JBIOCC yang dilengkapi 108 sistem kamera litar tertutup (CCTV) dibantu 15 ciri kecerdasan buatan (AI) dan sebuah Pusat Operasi Bersepadu Pintar (SIOCC) berfungsi untuk memantau keselamatan sekitar bandar raya Johor Bahru terutama warganya telah beroperasi pada 31 Disember tahun lalu.
Setelah berjaya mencapai status ‘early adopter’ sebagai bandar pintar, MBJB turut memasang 500 CCTV bersama lima papan tanda elektronik ‘Variable Message Signs’ (VMS) dan 10 butang kecemasan yang sudah sedia digunakan oleh orang awam sebagai usaha ke arah penarafan Bandar Pintar.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor