1,000 LAMPU SOLAR LED DITERIMA TAHUN INI


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan 1,000 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) jenis LED Solar kepada Negeri Johor bagi pelaksanaan projek rintis pemasangan lampu berkenaan pada tahun ini.

 

Projek tersebut dilaksanakan di kawasan luar dan pinggir bandar, perkampungan Orang Asli, kawasan di luar pengoperasian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta taman perumahan atau penempatan semula yang dimajukan pihak swasta dan perseorangan.

 

Pemasangan lampu LED solar turut dibenarkan di sepanjang jalan utama kawasan kampung dengan keutamaan diberi kepada bahagian hadapan bangunan awam seperti balai raya, rumah ibadat dan kawasan tumpuan kegunaan awam serta persimpangan jalan.

 

Selain itu, Johor turut menjadi negeri yang menerima unit LJK LED tertinggi bagi pelaksanaan projek fasa ke-11 tahun ini dengan sejumlah 2,657 lampu telah siap dipasang melibatkan 899 kampung termasuk kampung induk dan kampung rangkaian.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab pertanyaan YB Puan N. Saraswati, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Kemelah mengenai status pelaksanaan Projek Pemasangan LJK pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor