EMPAT ELEMEN TONGGAK SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR


YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor ketika ditemui selepas Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Sekolah Rintis Bangsa Johor akan menekankan empat elemen utama bagi memperkasakan kualiti pendidikan di negeri ini selaras dengan usaha mempersiapkan generasi muda untuk bersaing di peringkat global.

 

Bakal memulakan sesi persekolahan tahun hadapan, elemen yang ditekankan adalah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris selain memartabat Bahasa Melayu serta memperkukuh pengajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor juga memberi tumpuan kepada keberkesanan pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di samping membimbing pelajar melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.

 

Inisiatif melibatkan peruntukan RM6.22 juta di dalam Belanjawan Johor 2025 itu akan melibatkan kira-kira 2,382 pelajar dan 160 guru dari empat sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, di Pasir Gudang serta SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara, Johor Bahru.

 

Kesemua sekolah tersebut dipilih berdasarkan pentadbiran yang proaktif, potensi pencapaian sederhana untuk ditambah baik dan hubungan antara sekolah rendah dengan sekolah menengah berfungsi sebagai ‘feeder school’.

 

Selain itu, pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor tidak mengganggu dasar pendidikan negara, sebaliknya inisiatif berkenaan menjadi nilai tambah kepada silibus sedia ada dengan harapan dapat diperluaskan ke peringkat nasional sekiranya berkesan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor