ARENA LARKIN BAKAL DIPERKASA SEBAGAI HAB PENGANGKUTAN AWAM JOHOR

YB Tuan Ir. Ts. Mohammad Fazli Mohammad Salleh bersama YBhg Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), membincangkan hala tuju transformasi dan naik taraf hab pengangkutan awam di Johor di Putrajaya. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Cadangan pembinaan Stesen KTM Komuter di Arena Larkin dengan anggaran bajet indikatif sebanyak RM50 juta dijangka memperkukuh peranan kawasan berkenaan sebagai hab pengangkutan awam bersepadu di Johor Bahru.
Cadangan Stesen Kereta Api Arena Larkin telah disenaraikan sebagai salah satu inisiatif dalam Ringkasan Langkah Belanjawan 2027 dan dirancang untuk menghubungkan perkhidmatan KTM Komuter, terminal bas serta cadangan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) dalam satu ekosistem pengangkutan berorientasikan transit.
Perancangan itu turut mengekalkan perkhidmatan bas antara bandar dalam Johor serta perkhidmatan bas rentas sempadan ke Singapura di kawasan Larkin bagi memastikan kesinambungan rangkaian pengangkutan awam sedia ada.
Hubungan antara terminal bas dan stesen KTM Komuter yang dicadangkan akan memudahkan penumpang untuk bertukar mod pengangkutan awam sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Dalam pada itu, Kerajaan Johor menekankan keperluan supaya cadangan pembangunan di Arena Larkin dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira keupayaan sistem saliran, kapasiti jalan masuk serta persimpangan sekitar bagi menampung pertambahan trafik, khususnya pada waktu puncak.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohammad Fazli Mohammad Salleh bersama YBhg Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), membincangkan hala tuju transformasi dan naik taraf hab pengangkutan awam di Johor di Putrajaya.
Kerajaan Negeri akan meneruskan penyelarasan bersama MOT dan agensi berkaitan bagi memperincikan cadangan pembangunan Arena Larkin dengan memberi keutamaan kepada akses penumpang, hubungan antara stesen dan terminal serta kesinambungan perkhidmatan bas sedia ada.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


