JOHOR BERPOTENSI JADI HAB DIGITAL


Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri yakin dengan perancangan rapi serta trend kemasukan pelaburan pusat data berskala besar ke Johor mampu menjadikan negeri ini sebagai hab digital utama di rantau Asia Pasifik dan seterusnya membuka laluan fasa yang lebih luas bagi pertumbuhan digital pada masa akan datang.

 

Selain itu, bagi memastikan aspek kelestarian dan tenaga hijau turut menjadi keutamaan, satu Garis Panduan Perancangan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor telah disediakan oleh pihak PLANMalaysia Johor yang turut mengambil kira penggunaan tenaga elektrik dan air secara mampan.

 

Dalam pada itu, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPDNJ) juga telah menolak kira-kira 30 peratus permohonan pembangunan pusat data di Johor yang mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam melindungi sumber alam semula jadi negeri ini.

 

Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan itu bersidang secara berkala bagi menyelaras hal ehwal berkaitan pembangunan pusat data sebelum sebarang pertimbangan dan pengesyoran bagi pembinaan pusat data di bangunan sedia ada atau terbiar dilaksanakan.

 

JPPDNJ turut mengadakan perbincangan dengan pelabur berpotensi dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan yang optimum serta menjalin kerjasama bagi membangunkan bakat tenaga mahir tempatan, sekali gus memacu pembangunan industri pusat data di Johor.

 

Untuk rekod, sebanyak sembilan projek pusat data telah berjaya dilaksanakan melibatkan kapasiti 1,280 megawatt (MW), manakala enam projek berkapasiti 1,490MW sedang dalam pembinaan, selain lebih 30 projek di peringkat perbincangan dan kelulusan setakat Jun lalu.

 

YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor