CADANG WUJUD MINGGU JAWI JOHOR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

Kerajaan Negeri sedia untuk mempertimbangkan cadangan pelaksanaan Minggu Jawi Johor sebagai langkah untuk memperkasakan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat terutama membabitkan generasi muda.

 

Segala bentuk cadangan dan penyelarasan pelaksanaan Minggu Jawi Johor itu akan melibatkan kerjasama erat beberapa pihak seperti Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor (YWJ) terutama bagi membincangkan berkaitan hal pengisian utama program, sekali gus memastikan kejayaan dan keberkesanannya dapat dicapai apabila ia dilaksanakan kelak.

 

Pelaksanaan Minggu Jawi Johor diyakini bukan sahaja dapat memperkukuhkan warisan budaya, tetapi juga meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan tulisan jawi sebagai salah satu elemen penting dalam pembentukan identiti bangsa.

 

Minggu lalu, YB Puan Hasrunizah Hassan, Ahli Dewan Negeri kawasan Pulai Sebatang mencadangkan agar pemerkasaan tulisan jawi dilaksanakan di negeri ini. Cadangan itu kemudiannya disokong YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor semasa Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor