KERAJAAN JOHOR AKAN SEGERA BERHUBUNG DENGAN WISMA PUTRA SUSULAN VIDEO ‘RAYUAN ANAK JOHOR UNTUK DISELAMATKAN’


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan segera berhubung dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) susulan penularan video ‘Rayuan Anak Johor Untuk Diselamatkan’ melibatkan tujuh individu mendakwa ‘Anak Johor’ ditipu sindiket pekerjaan di Kemboja.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, KLN atau Wisma Putra merupakan pihak bertanggungjawab dalam urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di mana-mana negara, menerusi kedutaan dilantik di negara berkaitan.

Menurutnya, pada masa sama, kerajaan negeri juga akan merujuk perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia berikutan membabitkan elemen jenayah penipuan sindiket pekerjaan terancang yang melibatkan warganegara Malaysia.

“Meskipun urusan membawa pulang warganegara Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Wisma Putra dan Kerajaan Negeri Johor tidak mempunyai kuasa penuh dalam soal urusan membawa pulang warganegara Malaysia, namun Kerajaan Negeri Johor tetap peka dan cakna dalam mendepani pelbagai isu semasa serta kebajikan khususnya buat Bangsa Johor.

“Kerajaan Negeri Johor yakin, Wisma Putra sentiasa komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia diberi keutamaan. Bagaimanapun, urusan untuk membawa mereka pulang masih tertakluk kepada peraturan negara yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hairi berkata, isu peluang pekerjaan terhadap anak muda sememangnya menjadi keutamaan malah dalam konteks isu yang tular, membabitkan belia dan Anak Johor ditipu sindiket pekerjaan luar.

“Diharapkan semua tujuh individu yang mendakwa sedang terkandas di negara Kemboja dapat bertahan sehingga semua urusan membawa pulang mereka ke tanah air dapat diselesaikan.

“Buat semua Bangsa Johor, marilah kita sama-sama doakan supaya urusan membantu kumpulan individu terkandas ini dipermudahkan dan mereka dapat pulang ke tanah air dalam keadaan selamat serta dapat bertemu dengan keluarga tercinta,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 58 saat bertajuk ‘Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan’ membabitkan tujuh individu yang mendakwa Anak Johor ditipu sindiket pekerjaan di negara Kemboja.

Individu yang mewakili kumpulan berkenaan turut mendakwa terkandas, dipaksa serta diugut untuk bekerja oleh sindiket berkenaan selain merayu kepada Kerajaan Negeri Johor untuk membantu mereka pulang ke tanah air.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor