JOHOR SAMBUT KELUARGA ASEAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merasmikan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 dengan upacara ‘ASEAN Handshake’. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Lebih 1,000 delegasi ASEAN yang disertai perwakilan daripada pelbagai agensi pelancongan serantau, pertubuhan pelancongan antarabangsa, persatuan serta perniagaan menyertai Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 yang membuka tirainya hari ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

 

Forum yang akan berlangsung selama enam hari ini turut menghimpunkan pihak berkepentingan dalam bidang pelancongan dari seluruh negara Asia Tenggara untuk siri acara dalam usaha meningkatkan kerjasama dan merancakkan pertumbuhan mampan bagi sektor pelancongan di rantau berkenaan.

 

Bertemakan ‘Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow’, ATF 2025 yang dianjurkan di Johor menjadi antara platform terbaik dalam melonjak imej negeri ini sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul selain turut mengetengahkan keunikan produk dan kepelbagaian segmen yang menjadi daya tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

ATF 2025 yang turut tampil dengan program Travel Exchange (TRAVEX) turut menarik lebih 100 pengusaha serta pempamer produk pelancongan domestik dan antarabangsa dengan lebih RM20 juta nilai jualan disasarkan oleh Tourism Malaysia selaku penganjur utama.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengiringi YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merasmikan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025, hari ini.

 

Sementara itu, Persidangan Pelancongan ASEAN (ATC) juga dijadualkan berlangsung secara serentak dengan TRAVEX, manakala mesyuarat peringkat tertinggi Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN akan diadakan bermula pada 16 hingga 20 Januari ini.

 

#ATF2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor